Safar – Apa Maknanya?
Bulan kedua dalam Tahun Hijrah kini sudah tiba. Bulan kedua ini dinamakan sebagai Bulan Safar. Tahukah anda apa maksud Safar ini? Bagaimana nama Safar boleh diberi dalam bulan kedua tahun hijrah ini?
Banyak pandangan diberikan terhadap asal-usul dan makna bulan kedua dalam Tahun Hijrah ini. Kami akan senaraikan beberapa pandangan yang telah kami kumpulkan untuk bacaan anda di laman ini.
Kosong
Secara umumnya, Safar diberikan pengertian sebagai “kosong”. Kenapa pula kosong? Menurut pandangan, dalam bulan ini, kebanyakan masyarakat arab akan mengosongkan rumah mereka untuk meyertai peperangan. Seperti yang kita tahu, bulan Muharram adalah bulan yang diharamkan berperang. Oleh yang demikian, bulan Safar digunakan untuk memenuhi hasrat mereka untuk berperang.
Tiupan Angin
Ini pula sumber yang kami perolehi daripada wikipedia. Perkataan in bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin. Safar juga menunjukkan yang masyarakat Arab (badwi) meninggalkan rumah mereka. Ada sedikit persamaan dengan makna yang pertama iaitu masyarakat arab meninggalkan atau mengosongkan rumah mereka.
Pasar
Definisi ini pula kami perolehi daripada Dewan Bahasa Dan Pustaka. Safar adalah bulan kedua mengikut Takwim Hijrah. Nama tersebut mula digunakan sekitar tahun 412 M., iaitu pada zaman Kilab ibn Murrah; datuk Nabi Muhammad s.a.w. yang kelima. Terdapat beberapa pandangan tentang asal usul nama Safar. Ada yang berpendapat bahawa nama Safar diambil daripada nama sebuah kawasan, iaitu al-Safariyyah. Pendapat lain pula menyatakan bahawa ia diambil daripada nama pasar al-Safariyyah yang terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab, iaitu di Yaman. Orang Arab sering berulang-alik ke pasar tersebut untuk menjalankan aktiviti perniagaan.